Meningkatkan kecekapan perkhidmatan, memperkukuh inovasi sektor pos




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hasif Matzin





BERAKAS, Sabtu, 3 Januari. – Syarikat PosBru Sdn. Bhd. (PosBru) menandakan satu pencapaian penting dalam proses pengkorporatan perkhidmatan pos di Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan berlangsungnya Majlis 'Soft Launch' yang diadakan di Pusat Memproses Mel, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis berkenaan, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, selaku Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PosBru.


Tetamu kehormat majlis dalam ucapannya antara lain menekankan komitmen PosBru untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta memperkukuh inovasi dalam sektor pos bagi memenuhi keperluan masyarakat dan komuniti perniagaan yang semakin berkembang di negara ini.


Inisiatif pengkorporatan berkenaan jelas Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina lagi, adalah satu daripada usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memacu transformasi negara ke arah meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan, dengan memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih dinamik, responsif serta 'customer-centric' bagi memenuhi keperluan rakyat dan meningkatkan produktiviti sektor perniagaan di negara ini.


"Kebanyakan negara-negara di dunia ini juga sudah beralih kepada pengkorporatan perkhidmatan pos.


"Dengan bermulanya PosBru mengambil alih perkhidmatan pos bagi negara ini, orang ramai tidak perlu khauatir kerana sebagai permulaan, kadar perkhidmatan pos semasa adalah dikekalkan dan semua perkhidmatan dan operasi sedia ada diteruskan seperti biasa.


"Semua pencapaian cemerlang yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos akan diteruskan dan apa jua kekurangan akan diperkukuhkan lagi. PosBru akan memastikan komitmen secara berterusan dalam memberikan perkhidmatan, menuju aspirasi sebuah organisasi logistik yang moden, responsif, cekap, dan seiring dengan perubahan zaman dan keperluan masyarakat, di samping memastikan kos operasi yang mampan," ujarnya lagi.


Pada masa yang sama, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina dalam ucapannya juga mengongsikan PosBru akan meneruskan kewajipan Universal Service Obligation yang akan memastikan perkhidmatan pos boleh diakses oleh semua orang di negara ini.


Majlis seterusnya menyaksikan perasmian Papan Tanda PosBru oleh tetamu kehormat majlis, yang melambangkan identiti korporat baharu serta hala tuju strategik syarikat.


Bagi mengakhiri majlis, tetamu kehormat majlis kemudiannya dibawa bagi meninjau kemudahan berkenaan, di mana penambahbaikan operasi yang sedang dilaksanakan dan dirancang telah dikongsikan bagi menyokong kecekapan pemprosesan mel serta penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.


Soft Launch berkenaan merupakan fasa permulaan dalam peralihan PosBru ke arah memperkukuh peranannya sebagai pengendali pos nasional yang lebih teguh, berdaya maju secara komersial, dan bersedia menghadapi era digital.


Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim, selaku Interim Ketua Pegawai Eksekutif (ICEO) PosBru.


Juga hadir, pegawai-pegawai kanan dari MTIC, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Darussalam Assets Sdn. Bhd., serta pihak pengurusan PosBru.

Close